Bicara Pendeta
Bahasa Melayu Sebagai Wahana Jati Diri Bangsa?
Bahasa Melayu Sebagai Wahana Jati Diri Bangsa?
Oleh Abdullah Hassan
Pengenalan
Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri.
Dalam sejarah pembinaan tamadun manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina tamadunnya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Oleh itu marilah kita memandang ke Eropah dan melihat bagaimana negara-negara Eropah membangun. Kita jadikan Eropah itu model. Pertama, kita akan melihat bagaimana seorang ahli matematik dan falsafah Jerman membangunkan bahasa Jerman demi membina tamadun bangsanya. Kedua, kita akan belajar daripada pemimpin dan sarjana Islam bagaimana mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab untuk membangunakan tamadun Islam. Daripada peristiwa-peristiwa ini kita melihat apakah kaedah yang dapat kita contohi; iaitu menyampaikan ilmu dan membina kepustakaan ilmu daaalam bahasa sendiri hendaklah dilakukan serentak.
Andaian tanpa bukti
Ada andaian yang mengatakan, oleh sebab bahasa bekas penjajah kita, Inggeris itu maju, maka kita boleh turut maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah tersebut. Bukti sejarah membuktikan sebaliknya. India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika Latin. Negara-negara ini masih terus menguji. Tidak usahkan maju, ada sesetanaghnya yang melepasi paras kemiskinan pun belum mampu.
Bahasa-bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia akan mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat. Hanya negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan ekonomi negaranya.
Di samping ilmu, ada satu lagi unsur penting dalam membangunkan eknomi, seterusnya tamadun sesuatu bangsa, iaitu kreativiti. Ada kaitan rapat kreativiti dengan bahasa yang kita gunakan menyampaikan ilmu itu. Ringkasnya, apabila bahasa pengantar yang kita gunakan ialah bahasa kita sendiri, benak kita akan bebas berfikir dan mencetusan idea kreatif. Tetapi, apabila kita menggunakan bahasa pinjaman, benak kita akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut, dan akibatnya kita akan menjadi pengguna produk-produk budaya tersebut. Malah Ibn Khaldun pernah berkata:
"Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka. Tingkah laku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagum terhadap bangsa yang menakluki mereka, sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna, ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja. Akibatnya mereka percaya mereka kalah akibat keagungan bangsa yang menakluki mereka. Apabila sangkaan ini berpanjangan, maka sangkaan itu bertukar menjadi keyakinan, sehingga akibatnya keyakinan itu mendorong mereka mengubah semua ciri-ciri asli mereka. Bangsa yang kalah mungkin meniru-niru secara tidak disedari, ataupun mereka menyangka mereka kalah disebabkan kelemahan-kelemahan budaya dan kepercayaan mereka sendiri, padahal tidak. Sebenarnya bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah lebih kuat dan lebih bersatu padu. Akibatnya, timbullah keyakinan lain bahawa dengan meniru-niru bangsa penakluk itu, maka akan terhapuslah punca-punca kekalahan mereka." Ibnu Khaldun (1332-1406), Muqaddimah, Bab 2, bahagian 22. Model Eropah: Bahasa Jerman Membina Tamadun Jerman
Pada abad ke-17 negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi, negara Jerman masih mundur. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini boleh berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai. Orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara Jerman.
Perjuangan Leibniz
Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716), seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman mencuba mencari jawapannya. Bahkan dia sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Tetapi, dia sendiri tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman. Leibniz menyedari bahawa ini timbul daripada amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajarkan ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan dan di kalangan atasan. Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.
Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dan disebarkan melalui bahasa Perancis dan Latin saja. Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahaminya. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa. Leibniz juga menyedari bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas. Dan bangsa yang tidak percaya kepada diri sendiri tidak akan maju. Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan. Akibatnya mereka mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itupun, Leibniz melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka sebagai nukleus kepada masyarakat Perancis itu.
Tentangan Golongan Atasan Jerman
Tetapi, golongan atasan dan golongan intelek Jerman menganggap bahawa bahasa Jerman itu adalah bahasa kampung. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya. Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar. Mereka tidak percaya bahawa bahasa Jerman mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perdagangan dan pentadbiran menggantikan bahasa Perancis.
Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Perancis dan Latin. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup dan tatabahasanya pun tidak ada. Oleh sebab itulah maka, pemikiran orang yang menuturkannya cetek. Jerman akan hanya dapat maju dan mampu bersaing dengan negara-negara dan bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis. Orang Jerman harus mampu hadir dan membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju lainnya kalau mereka menggunakan bahasa Perancis.
Pada masa ini, 300 tahun selepas para intelektual Jerman menyatakan kesangsiannya terhadap bahasa Jerman, kita akan masih terdengar kesangsian yang sama dilemparkan terhadap bahasa Melayu oleh sesetengah golongan atasan dan intelektual Malaysia. Kita mendengar ungkapan, segala ilmu dan maklumat ada dalam buku dan jurnal bahasa Inggeris. Kita bimbang pelajar kita tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, sarjana kita tidak dapat membentangkan kertas kerja di dalam seminar antarabangsa, pelajar tidak dapat masuk ke universiti bahasa Inggeris, Kita boleh belajar daripada pengalaman Jerman.
Secara tersirat pula, sebenarnya mereka bimbang akan hilang segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh mereka seperti gaji besar, hidup mewah kalangan golongan atasan dan intelektual jika bahasa Jerman ditingkatkan dan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti. Ini akan berlaku apabila rakyat jelata mendapat pendidikan dan mampu maju. Kedudukan mereka akan tercabar.
Strategi Leibniz
Oleh sebab itu Leibniz menggunakan strategi sendiri untuk meyakinkan mereka supaya menerima bahasa Jerman. Leibniz terus mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Dia mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu telah meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri. Bangsa Inggeris juga telah mula memajukan dan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis.
Dia berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek bahawa dengan mengatakan apabila mereka menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara, maka mereka akan semakin beruntung. Ini adalah kerana lebih ramai rakyat yang mendapat pendidikan, maka lebih berilmulah bangsa Jerman itu, dan lebih majulah negara mereka, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua. Oleh sebab itu, Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:
1. membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya, 2. menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman, 3. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti, 4. menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara, 5. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan 6. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.
Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya kepada perjuangannya. Pada sekitar 1750-an terbitlah sebuah tatabahasa Jerman ditulis oleh Johan Christoph Gottsched, dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman. Sambutan rakyat dan golongan intelektual terhadap buku tatabahasa ini luar biasa. Gottsched mengatakan bahawa sambutan hangat rakyat Jerman terhadap tatabahasa itu menunjukkan patriotisme rakyat Jerman terhadap bahasanya. Tatabahasa Jerman ini membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman adalah bahasa yang teratur yang sama mampu dengan bahasa-bahasa mana pun di Eropah.
Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz. Itulah saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia. Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak menyaksikan hasil perjuangannya. Tetapi wawasannya telah memupuk jalan yang meletakkan bahasa Jerman sebagai bahasa utama yang memainkan peranannya sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang termasuk perniagaan, di kalangan rakyat Jerman.
Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara.
Model Empayar Islam: Bahasa Arab Membina Tamadun Islam
Semasa Islam menakluki wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, sebahagian daripada empayar Bezantin, dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Siria, dan Farsi. Sarjana-sarjana di Alexandria dan Siria beragama Kristian dan Yahudi, manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan pagan. Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur. Apabila Islam menjadi pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka.
Dalam perkembangan intelektual inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Pada peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian, selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.
Kemuncak Tamadun Islam: Eropah Bergelap Semasa Lorong Baghdad Cerah
Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandara yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air dislurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah.
Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga bagi penggemar buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka.
Islam Pertama Mencipta Konsep Pendidikan Universal
Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.
Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri. Seluruh masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan ilmuwan. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam bentuk buku ilmu dan karya sastera. Pada zaman buku ditulis dengan tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat mereka diminta dan dihormati.
Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu
Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka, perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai.
Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya.
Ada tiga jenis perpustakaan pada zaman Islam, iaitu; perpustakaan awam, separa awam dan persendirian. Perpustakaan awam dibina untuk sekolah, universiti dan masjid. Ia dibuka kepada orang ramai. Perpustakaan separa awam dibuka kepada kumpulan tertentu. Perpustakaan persendirian pula adalah kepunyaan persendirian dan digunakan secara peribadi, melainkan dibuka kepada orang awam. Ada banyak perpustakaan di dunia Islam, sebahagian daripadanya adalah seperti berikut.
1. Perpustakaan Di Iraq
Pada puncak kejayaannya, sebelum dimusnahkan oleh Hulaqu Khan, Baghdad mempuyai 36 perpustakaan. Di antaranya ialah:
a. Perpustakaan Baitul Hikmah, Baghdad, dibina oleh al-Ma’mun 318; b. Perpustakaan Umar al-Waqidi (736-811), 120 muatan unta; c. Darul-Ilmu, dibina oleh Ardeshir, 991; d. Perpsutakaan Kolej Nizamiyah, dibina oleh Nizamiyah 1064; e. Perpustakaan Sekolah Mustansiriyyah,1233; f. Perpustakaan al-Baiqani,1033; g. Perpustakaan Muhammad Ibnu al-Hussain, di Haditha; dan h. Perpustakaan Ibnu al-Kami. 2. Perpustakaan Di Farsi
Farsi banyak menghasilkan sarjana Islam. Sebelum itupun, Farsi sudah terkenal dengan tradisi ilmunya. Ini tergambar daripada jumlah perpustakaan yang terdapat di negara itu. Antara yang terkenal ialah:
a. Perpustakaan Ibnu Abbad, (400 muatan unta); b. Perpustakaan Ibnu Amid, 971, (100 muatan unta); c. Perpustakaan Ibnu Hamdan, di Mosul, 935, mengandungi pelbagai ilmu; d. Perpustakaan Adud al-Dawlah, 983, di Basrah, dan cawangannya di Shiraz. banyak mengandungi buku sains dan perubatan. Semasa Farsi dilanggar oleh tentera Mongol, dikatakan ada 10 lagi perpustakaan di Farsi, terletak di kawasan kolej dan masjid. 3. Perpustakaan Di Afrika Utara
Di Kaherah, terdapat beberapa buah perpustakaan besar, empat daripadanya disenaraikan di bawah:
a. Bait al-Hikmah, dibina oleh Kalifah al-Aziz, 988, mengandungi lebih 100,000 buku, (mungkin 600,000), mengenai perundangan, nahu, retorik, sejarah, biografi, astronomi, kimia; b. Perpustakaan al-Fadhil, bukunya dimusnahkan oleh tentera Turki sekitar 1068, dan mengambil masa 100 tahun untuk mengumpulkan jumlah buku yang sama semula. Sultan Saladin menderma lagi 120,000 buku yang ditemuinya di istananya pada tahun 1171; c. Perpustakaan Ben Fatik; dan d. Perpustakaan al-Maarrif, mengandungi pelbagai buku ilmu. 4. Perpustakaan di Sepanyol
Kordova ialah ibu empayar Islam di barat. Ia merupakan sebuah bandaraya besar yang aktif dengan aktiviti keilmuwan. Terdapat lebih daripada 70 perpustakaan di Sepanyol dan Itali. Sarjana Eropah datang ke situ untuk menimba ilmu. Mereka juga datang untuk membeli buku, kerana Kordova mempunyai pasaran buku yang besar. Antara perpustakaan yang terkenal di Kordova ialah:
a. Perpustakaan al-Hakim, 976, mengandungi 600,000 buku; b. Perpustakaan Abu al-Mutrif, koleksinya dijual sebanyak 40,000 dinar semasa dia meninggal pada tahun 1011,dan c. Granada, Toledo, Marcia, Almeria, Seville, Valencia dan Cardiz di Sepanyol.. 5. Perpustakaan Yahudi
Ada beberapa perpustakaan sarjana Yahudi yang memberi sumbangan besar kepada kesarjanaan Islam. Antaranya:
a. Perpustakaan Yaqub ben Yusuf ben Killis, 979, di Kaherah, digunakan oleh sarjana Islam; b. Perpustakaan tabib Ephraim, mengandungi banyak buku perubatan; c. Perpustakaan Afdad; d. Perpustakaan Abraham ben Hillel, mengandungi buku karya Maimonides, Galen, Hippocrates, dan Ibnu Rush; e. Perpustakaan tabib Leo Mosconi dari Majorea, awal abad ke-14, mempunyai koleksi buku Ibnu Sina, Ibnu Rush, dan juga karya sarjana Yunani dan Yahudi mengenai astronomi, anatomi, meteorologi, perubatan, fizik, muzik, logik, etik, dan nahu; dan f. Perpustakaan tabib David d’Estella dari Perancis, akhir abad ke-14, mempunyai koleksi karya mengenai Aristotle, Galen, Ibnu Rush, dan Maimonides. Skriptorium Dan Industri Perbukuan
Pada zaman kegemilangan intelektual Islam, terdapat banyak institusi yang terlibat dengan penerbitan buku-buku ilmu. Di Baghdad saja, ada lebih daripada 100 orang terlibat dalam industri penerbitan, iaitu menterjemah, menulis, menyalin, menjilid, menjual, dan membeli buku. Kordova, menjadi pasaran terbesar buku ilmu di bahagian Barat empayar Islam. Industri perbukuan berjalan dengan aktif menyokong aktiviti intelektual.
Pemimpin Islam membina skriptorium atau bengkel penulisan di setiap perpustakaan. Mereka menggajikan sarjana untuk menulis dan menyalin buku. Mereka diberi gaji lumayan, pakaian, dan tempat tinggal yang selesa. Mereka diberi kemudahan kertas, dakwat, botol dakwat, dan pena dengan percuma. Pada zaman kertas diimport dari Cina dengan harga yang tinggi, ia merupakan kemudahan yang besar, mungkin lebih mahal nilainya apabila dibandingkan dengan harga sebuah komputer pada hari ini. Tetapi, pemimpin Islam mengeluarkan belanja yang besar, sama ada dari perbendaharaan pemerintah atau kekayaan peribadi, untuk membina dan mengembangkan ilmu.
Skriptorium ini menjadi sebahagian daripada setiap perpustakaan, sama ada kepunyaan awam atau peribadi. Di perpustakaan al-Hakim terdapat bengkel perbukuan untuk menterjemah, menyalin dan menjilid buku. Di perpustakaan Yaqub terdapat orang yang ditugaskan khas untuk menyalin dan menjilid buku-buku. Begitulah juga dengan perpustakaan lain di Kordova, Toledo, Kaherah, Basrah, Damsyik, dll.
Usaha yang dijalankan di dalam skriptorium inilah yang menjadi nadi penggerak industri penerbitan buku. Walaupun tidak ada satu badan khas yang diberi tugas menjaga dan menentukan aliran perkembangan industri penerbitan buku, buku ilmu diterbitkan dengan banyaknya. Pada masa itu buku mahal harganya. Ia memerlukan penaung dan pembiaya yang kaya. Sekiranya tidak, ilmu tidak akan dapat dibukukan. Fungsi itu dipegang oleh raja, kalifah, hartawan, dan ilmuwan. Mereka membina skriptorium. Skriptorium itu menjadi syraikat penerbit. Ia menerbitkan manuskrip bertulis tangan.
Amalan ini dapat menjadi pengajaran yang dapat kita tiru dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Cuma bentuk skriptorium yang diperlukan akan berlainan bentuk dan prosesnya, tetapi fungsinya sama, iaitu menggalakkan industri penerbitan. Ia boleh mengambil bentuk lembaga atau badan yang ditugaskan untuk menjalankan fungsi ini. Produknya juga boleh berbentuk buku biasa atau dalam media lain seperti dalam bentuk elektronik.
Status Ilmuwan Dalam Negara Islam
Pada zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan sangat dimuliakan. Mereka bukan sekadar diberi kebebasan menggunakan perpustakaan, tetapi keperluan mereka sentiasa dijaga. Dalam sesetengah hal, makan minum, peralatan menulis, wang perbelanjaan dan penginapan disediakan untuk mereka yang datang dari jauh untuk mencari ilmu.
Ibnu Abbad di Farsi, bukan sekadar membenarkan perpustakaannya yang termasyhur itu digunakan dengan bebas, tetapi setiap ilmuwan diberi 1,000 dirham dan pakaian lengkap untuk menggalakkan mereka mempelajari ilmu. Perpustakaan Ibnu Hamdan di Mosul, dibuka kepada semua pelajar, dan pelajar miskin diberi kertas. Perpustakaan Adud-al-Dawlah di Basrah dibuka kepada semua rakyat. Sarjana yang membaca dan menyalin buku diberi biasiswa. Di Isfahan, perpustakaan Khuda Bukhsh dibina oleh seorang hartawan untuk digunakan oleh pelajar. Ibnu Hibban, qadi Nishapur mewakafkan rumah dan perpustakaannya kepada majlis perbandaran kota Nishpur. Di dalam rumahnya itu disediakan tempat tinggal pelajar dari luar negara. Dia juga memberi biasiswa kepada mereka.
Yaqut al-Hamawai, seorang ahli geografi meriwayatkan dia pernah tinggal di Marv, Farsi. Semasa dia di situ dia dibenarkan menggunakan perpustakaanya secara berleluasa. Dia meminjam lebih daripada 200 buah buku pada setiap masa, tetapi tidak pernah diminta memberi cagaran walaupun nilai bukunya lebih daripada 200 dinar. Al-Maqrizi pula menceritakan, di Akademi al-Hakim, pelajar miskin diberi kertas, dakwat, botol dakwat, pena, dan biasiswa. Malah al-Hakim menyediakan peruntukan lebih dari 200 dinar untuk menyenggara perpustakaan, termasuk membeli kertas, dakwat, dan pena untuk ilmuwan dan penyalin buku. Peruntukan juga disediakan untuk membaik pulih buku-buku lusuh.
Al-Maqrizi juga membuat catatan dalam riwayatnya bahawa wanita juga diberi peluang belajar di perpustakaan-perpustakaan itu. Kalifah al-Hakim II, pula menubuhkan perpustakaan di Kordova, dan dia membekalkan semua buku yang boleh dibeli dari seluruh dunia Islam. Semua orang yang ingin belajar diterima menggunakan perpustakaan itu. Pelajar miskin diberi biasiswa oleh al-Hakim. Bahkan Kalifah al-Hakim sendiri adalah seorang sarjana, yang membaca semua buku di perpustakaannya. Demikianlah mulianya para ilmuwan di mata pemimpin Islam. Setiap sarjana diberi ganjaran lumayan. Dia tidak perlu terkial-kial mencari sara hidup untuk belajar atau mengusahakan penyalinan dan penulisan buku-buku ilmiah. Ini adalah suatu kemudahan besar pada masa itu. Perlakuan yang sangat mulia terhadap para ilmuwan itu telah membantu menyuburkan perkembangan ilmu. Sikap dan tindakan yang menyokong ini telah membantu menyuburkan pembinaan kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
Amalan membuka perpustakaan kepada ilmuwan sangat bertentangan dengan yang kita lakukan sekarang. Pada masa ini ilmuwan, walaupun profesor, apabila bersara diminta memulangkan semua barangan universiti termasuk kad perpustakaan. Mereka tidak lagi boleh menggunakan perpustakaan universitinya. Dalam sehari, mereka kehilangan sumber ilmunya. Mereka tidak lagi dapat menggunakan perpustakaan untuk membaca untuk mengayakan khazanah ilmunya. Pada masa dia menjadi lebih matang sebagai ilmuwan, dia tidak lagi diberi kemuliaan sebagai ilmuwan. Pendapatannya daripada pencen akan menurun menjadi sekitar seperempat daripada pendapatan asalnya. Amalan begini tidak lagi memuliakan ilmu dan ilmuwan, dan tidak menggalakkan lagi mereka menjadi produktif.
Ada amalan dalam tradisi Islam yang tidak kita amalkan sekarang. Kita boleh belajar dari amalan itu. Penulis buku ilmu, harus dapat hidup dengan usaha yang dijalankannya. Sekiranya ini tidak berlaku, pihak berwajib harus menampung segala kekurangan itu bagi menjamin usaha itu dijalankan.
Kita dapat melihat dua fasa penting dalam membina kepustakaan dan menjana ilmu secara kreatif yang berlaku dalam empayar Islam. Pertama, ilmu diterjemah dan iserap ke dalam bahasa Arab. Kedua, apabila mereka sudah menyerap ilmu aripada Yunanai dan Latin, maka timbullah fasa kreativiti mereka. Wujudlah ilmuwan Islam yang membina ilmu dalam bahasa Arab untuk orang Islam.
Fasa Pertama: Penterjemah Mengimport Ilmu
Pada peringkat awal pemerintahan Islam, perhatian terhadap ilmu tidak begitu rapi. Ada kenyataan yang dibuat oleh sarjana Eropah bahawa panglima tentera Islam seperti Amru Ibnu As dan Ibnu Waqqas memusnahkan buku-buku yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi, apabila kalifah Abasiah menggantikan Umaiyah, pemerintahan Islam berubah kepada pemimpin bukan Arab dan pusat pentadbiran berpindah ke Baghdad. Di bawah kalifah Abasiah, dengan tradisi ilmunya, perkembangan ilmu menjadi lebih pesat.
Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750 M hingga 1350 M. Pada masa itu Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, dan Eropah hanya bangun dan memulakan zaman pembaharuan antara 1400 M hingga 1600 M.
Sarjana-sarjana Islam mengizinkan ilmuwan Kristian Siria, Koptik, Nestorian, Yahudi, dan Majusi di Farsi, yang sedia wujud di daerah yang baru ditaklukinya meneruskan aktiviti intelektualnya. Mereka tidak dipaksa mengubah agama mereka. Sarjana-sarjana ini memang telah banyak menerima ilmu dari Yunani. Peranan pemimpin Islam pada masa itu ialah menggalakkan lagi aktiviti intelektual ini. Mereka turut menggiatkan aktiviti mengimport ilmu-ilmu terkini yang diciptakan oleh bangsa-bangsa lain sebelum mereka. Ini mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu. Pada akhir pemerintahan kalifah Umaiyah, bahasa Arab telah mengandungi banyak ilmu yang mereka terjemahkan. Ini termasuklah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi dari tradisi Yunani; matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India; dan sains, kesusasteraan dan agama dari Farsi. Sarjana Islam juga memperkembang ilmu yang mereka import itu dengan membuat ulasan-ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh sarjana-sarjana Siria.
Ada beberapa orang kalifah Abasiah di Baghdad yang terlibat secara langsung di dalam memajukan usaha menterjemah buku ilmu dan sastera dari Yunani, Farsi dan India. Mereka berusaha supaya bahan ilmu yang diperlukan untuk penyelidikan falsafah dan sains terdapat dalam bahasa Arab untuk ilmuwan berbahasa Arab. Usaha menterjemah ini berjalan dalam dua tahap. Pada tahap pertama, usaha menterjemah hanya dijalankan secara bebas oleh sarjana Kristian, Yahudi, dan mereka yang baru memeluk Islam. Pada tahap kedua, usaha ini dijalankan secara formal dan teratur. Kalifah Jaafar al-Mansur (754-775 M), memulakan usaha ini dengan menjemput George Bakh Tishu, seorang tabib Kristian Nestorian, dari Jundi Shahpur di Farsi untuk datang ke Baghdad menjadi tabibnya. Ini diikuti oleh tabib-tabib lain. Malah anaknya juga kemudian menjadi tabib kalifah Harun al Rashid (786-809 M). Usaha menterjemah di bawah al-Mansur dan Harun al-Rashid, menjadi berlipat ganda di bawah kalifah al-Makmun (813-833 M).
Di Jundi Shahpur, tradisi perubatannya adalah gabungan antara perubatan Yunani dan India. Inilah yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu perubatan Arab Islam. Setelah adanya asas ilmu perubatan ini barulah timbul sarjana perubatan Islam. Yang pertama ialah al-Razi (923 M). Kemudian, timbul pula Ibnu Sina yang menghasilkan penyelidikan mengenai cacar dan taun. Ibnu al-Baitar membina kepakaran dalam farmaseutiks, dan Ibu Haitham dalam kajioptik.
Di bawah pemerintahan kalifah al-Makmun dan kalifah-kalifah selepasnya, usaha terjemahan dijalankan melalui sebuah akademi yang ditubuhkan di Baghdad, iaitu Baitul Hikmah. Selepas itu, aktiviti menterjemah ilmu ini berjalan lancar untuk membolehkan ilmu itu sampai kepada ilmuwan Islam berbahasa Arab.
Dalam perkembangan ilmu ini kita dapat melihat sumbangan signifikan terjemahan sebagai asas pembinaan ilmu. Setelah asas ilmu diterjemahkan, maka barulah tradisi ilmu itu berkembang dalam bahasa Arab dan menghasilkan bahan ilmu sendiri. Mula-mula mereka meniru dan menyerap ilmu dari luar, setelah itu mereka menjana ilmu sendiri secara kreatif. Proses menjana ilmu berkembang daripada budaya ilmu yang diimport.
Fasa Kedua: Sarjana Islam Menjana Ilmu Secara Kreatif
Para ilmuwan Islam menggunakan ilmu-ilmu yang diterjemahkan dari Yunani, Farsi dan India untuk tujuan-tujuan praktikal. Amalan ini dengan sendirinya memerlukan mereka menjadi kreatif dan inovatif untuk menerap ilmu tersebut bagi menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam kehidupan mereka. Usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah-kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, sarjana-sarjana lain berusaha mengembangkan ilmu semata-mata untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat ilmu pengetahuan. Dengan demikian, ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu Yunani yang bersifat spekulatif itu dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta. Dalam menjalankan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dogma dan kepercayaan. Ini berlainan dengan apa yang diamalkan di Eropah di mana intektualnya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran dan dogma-dogma waktu itu adalah benar.
Para ilmuwan Islam juga memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan ilmu-ilmu yang ada dan mencipta cabang-cabang ilmu baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historigrafi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika, falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, senibina, seramik dan macam-macam lagi.
Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik-teknik penyelidikan secara teliti dan lama. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada ujikaji yang mereka lakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategorisasi.
Ahli-ahli sains Islam adalah pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan ujikaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat.
Di bawah pemerintahan al-Makmun dan al-Mansur, pusat ilmu berpindah dari Bizantin ke Baghdad. Ilmuwan berkembang di Baghdad, ramai ahli matematik dan astronomi menjalankan kajian. Pusat pemerhatian astronomi dibina di Baghdad dan Jundi Shahpur. Kajian astronomi menggalakkan perkembangan ilmu aritmatik dan algebra. Dari golongan inilah munculnya Naubakht (astronomi), Hussain al-Sufi (menghasilkan kajian agung astronomi), Omar Khayyam (sains Islam, matematik), Habash al-hasib (jam suria), al-Farghani (mengira diameter bumi, dan jarak serta saiz bintang-bintang), al-Din al-Tusi (menyusun jadual Zij, kalendar), al-Muzaffar al-Tusi (inventor astrolabe - penggukur altitud), al-Din Shirazi (geometri optik), Banu Musa (matematiks), Ibnu Mashar (mathematiks), al-Biruni (mengukur latitud dan longitud), Abu al-Wafa (matematik-astronomi), Fakhrudin al-Razi (ensikolpedia sains), al-Khazim (graviti, berat aloi dan densiti air), Kamal al-Din (mengkaji lintasan cahaya melalui gelas), dan al-Khwaizmi (matematik).
Dalam bidang perubatan pula, kita melihat asas ilmu yang dibina atas gabungan ilmu dari Yunani, India dan Farsi menimbulkan suasana yang mencetuskan ilmu baru. Pakar perubatan yang banyak menulis ialah al-Razi keturunan Farsi dan tinggal di Baghdad. Dia mempelajari ketiga-tiga sumber ilmu perubatan itu dari Ibnu Ishaq, dan menghasilkan lebih 200 karya. Hampir separuh daripadanya mengenai perubatan. Karyanya mengenai perubatan meliputi bidang sistem saraf yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Dia juga menulis mengenai falsafah, teologi, matematiks, astronomi, dan sains. Tradisi perubatan al-Razi disambung oleh seorang tabib lain keturunan Farsi, Ibnu Sina, yang juga seorang ahli falsafah. Ibnu Sina menyambung usaha Hippocrates dan Galen, dua orang pakar perubatan Yunani. Karya Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia ilmu perubatan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah. Di samping itu dia menghasilkan lebih 100 risalah falsafah dan matematiks. Haly Abas (995M) mengarang buku Seni Perubatan Lengkap yang merupakan sebuah ensiklopedia perubatan. Muwaffa Ibnu Mansur (975M) pula menulis Asas dan Sifat Sebenar Penawar mengandungi huraian 585 drug.
Pemerintahan Islam yang luas menemukan mereka dengan beberapa daerah baru. Ini memerlukan huraian geografi, iklim, ekonomi, sejarah, dan sosiologi. Asas ilmu geografi dari Ptolemy diperkembang, dengan pengumpulan data baru. Lagi, ilmuwan Farsi banyak menguasai bidang itu. Al-Balkhi (934M) menulis banyak buku, termasuk geografi yang menjadi asas pengajian geografi selepasnya. Al-Hamdani menghuraikan geografi semenanjung Arab, al-Biruni menghuraikan geografi India, Nasiri dari Khurasan menulis tentang pengamatannya semasa mengembara ke Mesir dan Makkah, dan Yaqut dan Qazwini menyusun kamus mengenai nama-nama geografi dan biografi.
Semasa ilmuwan Islam mengkaji sains, ilmu lain juga berkembang. Sumbangan Ibnu Khaldun, al-Qadir Jilani, al-Ghazali, al-Batalyusi dll. adalah banyak dalam kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
O’Leary (1966) dan Nakosteen (1964) menyenaraikan sumbangan penterjemah dalam segala bidang ilmu ini. Senarainya panjang dan mengkagumkan. Ia juga membolehkan kita memahami bagaimana sarjana Islam menjadi begitu maju setelah banyak ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ia menjadi asas pembinaan ilmu sarjana Islam itu sendiri.
Beberapa ciri penting dalam perkembangan ilmu Islam ini dapat kita lihat. Pertama, ia berkembang daripada asas ilmu yang dibawa masuk melalui terjemahan. Daripada meniru ilmuwan Islam belajar mencipta. Ini adalah satu tahap penting dalam pembinaan ilmu. Kepustakaan Melayu juga perlu diisi dulu dengan ilmu yang diimport dari bahasa lain. Sebarang tindakan yang menghalang pengimportan ilmu ini akan juga membantutkan perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Kedua, ahli ilmuwan Islam itu sangat luas cakupan bidang keahliannya. Mereka tidak menjurus kepada satu bidang saja. Ibnu Sina juga adalah seorang falsafah dan ahli matematik. Bahkan, Ibnu Sina juga seorang pemuzik dan menulis risalah tentang muzik. Ilmu yang dibina oleh sarjana Islam itu heterogeus atau pelbagai sifatnya, bukan homogenus atau semacam saja. Ketiga, mereka mempunyai obsesi mencari ilmu. Obsesi ini penting, tanpa obsesi sesuatu usaha tidak akan tamat. Keempat, mereka menuliskan ilmu mereka. Tanpa ilmu yang tertulis, tidak ada tamadun. Inilah ciri-citi yang akan kita terap ke dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, demi menyerlahkan lagi tamadun Melayu.
Keruntuhan Kesarjanaan Islam
Pada akhir kurun ke-13 keagungan ilmu Islam ini berakhir. Ia tidak melahirkan tamadun yang lebih tinggi. Ada beberapa sebabnya. Ini perlu kita pelajari supaya tamadun yang kita bina dalam bahasa Melayu ini dapat mengelakkan kesilapan yang sama.
Tentera Tartar di bawah pimpinan Hulaqu Khan, cucu Ghengis Khan, menakluki kota Baghdad pada 1258. Bangsa Tartar yang belum mengenal tamadun tinggi itu tidak tahu memuliakan ilmu. Mereka membakar beratus-ratus perpustakaan di Baghdad, termasuk Baitul-Hikmah. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand, ke Bukhara, dari Baghdad ke Kordova perpustakaan Islam dibakar jadi abu (Raja-raja Kristian menakluki dan memusnahkan Kordova pada tahun 1492).
Ironisnya, ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Mereka tidak menggunakan ilmu mereka misalnya untuk mencipta alat dan teknik perang baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional, pedang dan anak panah. Dalam peperangan yang menggunakan teknologi lama, mereka tidak sehandal tentera Tartar dan Kristian.
Apa yang kita Pelajari daripada Eropah (Jerman) dan Islam
Ada dua perkara yang dapat kita pelajari daripada kasus pembinaan Jerman menjadi negara industri moden, dan juga zaman kegemilangan Islam.
1. Dalam membina tamadun kita, kepustakaan dalam bahasa sendiri adalah asasnya. Ahli-ahli sejarah Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang Islam tidak akan timbul semula. Sebabnya ialah setelah perpustakaan-perpustakaan Islam musnah, orang-orang Islam tidak membina semula perpustakaan mereka. Mereka lupa kepustakaan ialah asas pembinaan mana-mana tamadun. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada bangsa yang dapat mendirikan tamadunnya sendiri.
2. Belajar dalam bahasa sendiri itu dapat mengekalkan kreativiti pribumi kita sebagai orang Melayu. Inilah yang membezakan Jerman selepas 1750-an dengan zaman sebelumnya. Apabila orang Jerman mempelajari ilmu melalui bahasanya sendiri, maka kreativiti pribumi mereka meningkat. Mereka tidak lagi sekadar menjadi pengguna kepada produk Perancis dan Itali.
Tiga pengamatan
Daripada dua model pembinaan tamadun di atas, kita dapat membuat kesimpulan bagaimaba tamadun dibangunkan.
1. Kita melihat ada korelasi yang sangat tinggi di antara bahasa yang digunakan dalam pendidikan dengan tahap pembangunan ekonomi sesbuah negara.
2. Kita juga melihat ada korelasi di antara kreativiti sesebuah bangsa dengan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan mereka. Bangsa yang menerima pendidikan dalam bahasa sendiri menunjukkan kekreatifan yang lebih tinggi berbanding dengan yang menerima pendidikan dalam bahasa asing.
3. Kita juga melihat ada korelasi tinggi di antara minda tertawan dalam bahasa pengantar pendidikan, menyebabkan kekaguman terhadap bahasa tersebut dan memandang rendah terhadap bahasa sendiri.
Bebarapa kesan pada tahap sosial
Sebelum membuat resolusi, ada lima kesan yang ketara dapat kita lihat berlaku apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan.
1. Mengajar Ilmu Melalui Bahasa Ibunda Lebih Berkesan
Dari tahun 1972 hingga sekarang kita mencapai kejayaan besar apabila kita menyampaikan pendidikan dalam bahasa Melayu. Apabila bahasa Melayu ditukar dengan bahasa Inggeris, maka pendidikan akan sukar dicapai orang orang Melayu luar bandar dan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris di bandar. Ini berlawanan dengan fitrah manusia bahawa belajar melalui bahasa sendiri itu lebih berkesan. Dapatan-dapatan kajian itu membuktikan bahawa belajar melalui bahasa ibunda adalah lebih cepat dan berkesan.
Pada tahun 1972, sebuah kajian dilakukan di Ireland terhadap penggunaan bahasa Gaelik iaitu bahasa ibunda mereka untuk mengajarkan matematik kepada kanak-kanak sekolah rendah. Dapatan kajian tersebut membuktikan bahawa kanak-kanak yang diajarkan matematik melalui bahasa Gaelik itu dapat memahami pelajarannya dengan cepat dan berkesan. Pada masa yang sama kanak-kanak yang diajarkan pelajaran yang sama melalui bahasa Inggeris menunjukkan kefahaman yang rendah. Terbukti bahawa mengajarkan matematik dengan menggunakan bahasa ibunda itu adalah lebih berkesan daripada menggunakan bahasa pinjaman.
Di samping penduduk Ireland, penduduk Wales dan Scotland juga mempunyai penduduk yang berlainan asal daripada England. Mereka berasal daripada bangsa Celtic yang menuturkan bahasa Gaelik. Mereka bukan orang Inggeris, tetapi sudah lama ditakluki oleh bangsa, bahasa dan budaya Inggeris. Tetapi dalam tahun 60-an dan 70-an, ramai di antara mereka menyedari bahawa mereka itu bukan Inggeris. Lalu timbullah kebangkitan yang di kalangan penduduk negeri tersebut untuk mewujudkan kembali identiti mereka sebagai orang Celtic, suatu bangsa lain daripada Inggeris. Bagi kita yang pernah melawat negara Britain, dan pernah pula melawat negeri Wales, akan tentu teringat papan tanda yang terpampang di tepi lebuhraya waktu memasuki negeri Wales. Kita akan disambut dengan "Gome Imru". Selamat Datang ke Wales. Sekiranya kita datang dari England, lebuhraya akan membawa kita ke "Caberfied" bukan Cardiff. Dari masa itu timbullah pergerakan untuk menghidupkan semula bahasa Gaelik (Welsh) di kalangan penduduk Wales. Tokoh yang paling terkenal di Wales menghidupkan semula bahasa Gaelik ini ialah Lilian Jones. Lilian Jones adalah seorang pegawai pendidikan. Beliau dan sekumpulan ahli masyarakat terdidik di negeri Wales merasakan mereka telah hilang identiti sebagai orang Wales setelah berlaku proses pengInggerisan mereka melalui pendidikan dalam bahasa Inggeris. Walaupun mereka menerima hakikat bahawabahasa Inggeris itu memberi mereka potensi ekonomi yang baik, tetapi hati kecil mereka masih mengatakan identiti mereka sebagai orang Wales perlu ditegakkan.
Pengalaman di negara Brunei Darussalam juga memberi bukti yang sama. Brunei mengamalkan dasar dwibahasa, dan mengubah bahasa pengantar pendidikannya daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris pada tahun empat pendidikan rendah. Setelah mendapat pendidikan asas melalui Bahasa Melayu, mata-mata pelajaran sains dan matematik diajarkan melalui bahasa Inggeris. Perubahan bahasa pengantar ini telah menimbulkan beberapa kesan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran apabila bahasa pengantar ditukar daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris itu telah mengganggu proses pemahaman matematik. Prestasi mereka dalam peperiksaan juga menurun. Penguasaan Bahasa Melayu juga mula merosot. Seorang ahli akademik di Universiti Brunei Darussalam meminta supaya dasar itu dikaji semula. Dia juga mengajukan supaya pengajaran matematik dan sains dijalankan di dalam Bahasa Melayu semula.
Sebuah penyelidikan dijalankan di sebuah Universiti tempatan (identiti terpaksa dilindungi) mengenai kemampuna pelajarnya mengungkapan sebuah konsep sains dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Didapati mereka lebih mampu mengungkapkan konsep sains itu dalam bahasa Melayu. Apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris ulasan mereka cetek, dangkal dan kabur. Apablia mereka menggunkan bahasa Melayu, ayat mereka menjadi lebih panjang dan idea yang diungkapkan menjadi lebih canggih dan jelas. Hal ini disokong dengan pengamatan yang dilakukan terhadap kemampuan pelajar sebuah universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Kemahiran pelajar menulis tugasan dalam bahasa Inggeris sering terganggu oleh kelemahan mereka dalam menguasai nahu dan kosa kata. Ini menyebabkan mereka menyatakan idea dalam frasa-frasa pendek dan ayat-ayat yang tidak lengkap. Ini menyebabkan idea yang diungkapan menjadi kabur.
2. Luputnya Himpunan Memori Melayu daripada Benak Melayu
Bahasa Melayu yang kita gunakan seharian, dan sebagai bahasa pendidikan, akan membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu, mahupun Malaysia. Himpunan memori inilah yang akan membentuk nilai kita, jati diri kita, kepercayaan kita, budaya kita dll. sebagai orang Melayu. Apabila kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, maka himpunan memori kita juga akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang melayu atau orang Malaysia. Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.
3. Jati Diri yang Semakin Luput
Kita dapat melihat apa yang dialami oleh sebuah negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya. Dalam "The Role of Language Planning in Education in Singapore" Anne Pakir (1994) menyatakan apabila pada tahun 60-an hingga 80-an, ibubapa diberi pilihan untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris, Mandarin, Melayu, atau Tamil. Aliran Melayu dan Tamil akhirnya "dried up" atau tandus. Dua puluh lima tahun kemudian barulah kelihatan apa kesannya bahasa Inggeris itu terhadap identiti belia Singapura, khususnya kaum Cina. Pada 27 Julai 1997, Goh Chok Tong berucapa di televisyen Singapura dalam rancangan "Addressing the Nation." Ucapan itu sangat menarik. Beliau menyatakan kebimbangan terhadap masyarakat belia Singapura pada masa itu. Beliau mengatakan, setelah 25 tahun diberi pendidikan bahasa Inggeris, maka mereka sudah mula melihat beberapa perubahan yang sedikit membimbangkan. Beliau berkata, lebih kurang bermaksud "Belia kita sekarang tidak tebal lagi Cinanya. Hanya dari segi biologi mereka Cina. Dari segi budaya mereka sudah menjadi Barat. Mereka mudah sekali menyesuaikan diri dengan Barat apabila dihantar belajar ke negeri Britain dan Amerika …. Ada yang terus memilih untuk tinggal di sana, dan kalau pulang pun membawa teman hidup dari sana ….." Perkara ini bertambah ketara apabila Dr. Chang Han Yin dari Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura membuat suatu kajian di kalangan pelajar universitinya, bagi meninjau perubahan nilai dan identitiny. Ringkasnya, 8 daripada 10 pemudanya mengharapkan mereka itu dilahirkan sebagai Caucasius, bukan sebagai orang Asia.
4. Minda Yang Membentuk Tamadun Nukelus dan Pinggiran
Di Jepun pula, penyampaian ilmu melalui bahasa Jepun mencetuskan wabak ilmu. Rakyat Jepun yang berilmu itulah yang mengembangkan ekonomi Jepun. Sebelum itu ilmu terkepung di kalangan elit. Ilmu pada waktu itu berguna hanya kepada peribadi saja. Penggunaan bahasa Jepun menukarkan sifat bahasa Jepun itu dengan cepatnya menjadi manfaat awam di Jepun. Ilmu mula membolehkan orang-orang Jepun mencipta alat-alat baru, proses-proses baru, bahan-bahan baru, hasil-hasil tanaman baru, teknik-teknik baru, dan apa-apa saja yang sekarang kita kenali sebagai teknologi Jepun. Minda Jepun mencipta tamadun nukelus, bukan pinggiran. Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, kita tidak dapat mengisi minda kita dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda menurut kerangka bahasa pinjaman itu. Keaslian minda kita pun hilang. Sepandai-pandai orang yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina minda seasli penutur asli bahasa pinjaman itu. Minda masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan menjadi minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman. Minda pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri. Minda pinggiran itu akan sentiasa memandang rendah kepada minda bangsanya, tetapi ia tidak pula tergolong kepada minda pusat bahasa pinjaman itu. Dia akan hanya menjadi minda yang tercabut daripada minda bangsanya, tetapi tidak pula diterima sepenuhnya ke dalam minda bahasa pinjaman.
5. Ekologi Bahasa
Apakah yang kita maksudkan dengan ekologi bahasa? Kita tidak memerlukan definisi. Kita hanya memerlukan analogi atau kiasan. Mari kita lihat sebuah contoh, katakan ekologi ikan. Ikan ada ekologinya: kitaran hayatnya, sekitarannya tempat ia hidup, makanannya, binatang lain yang menjadi sokongan dan pemangsanya, dan udaranya. Apabila kita rosakkan ekologinya, katakanlah kita mencemari air yang didiaminya, ikan itu akan mati. Bahasa juga mempunyai ekologi. Ia ada penutur, ia ada fungsi, ia ada sekitaran hidupnya, ia ada maruahh, ia ada martabat, dll. Apabila kita menggugat mana-mana unsur ekologinya, kita juga menggugat kedinamikan bahasa itu. Fungsi sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi adalah sebahagian daripada ekologi bahasa kebangsaan kita (iaitu bahasa Melayu). Membuang fungsi menyampaikan sains dan teknologi daripada bahasa kebangsaan kita adalah undi tidak percaya kepada bahasa Melayu. Inilah satu-satunya fungsi yang memberi maruah kepada bahasa Melayu. Apabila fungsi itu ditiadakan, maruah bahasa Melayu juga jatuh. Hal ini juga melibatkan maruah bahasa Melayu. Apabila ia sudah mampu mengungkapkan ilmu dan teknologi tinggi, mampu menggerakkan pentadbiran negara, menguruskan perdagangan, dan menjadi wahana diplomasi, maka dewasalah bahasa itu. Sekiranya mana-mana fungsi ini ditiadakan, bahasa Melayu tidak akan dewasa. Apabila ekologinya tergugat, bahasa itu tidak akan menjadi dewasa, ia tidak akan mantap.
Dalam kitaran hidup bahasa, pengungkapan ilmu dan pemikiran tinggi itu adalah maruah bahasa itu. Bahasa yang baru saja memegang fungsi menyampaikan ilmu itu terpaksa mengimport ilmu daripada bahasa lain. Strategi yang berkesan ialah terjemahan. Itulah yang berlaku apabila Farsi mengimport ilmu dari India, Arab Islam dari Farsi dan Yunani, Eropah dari Arab, dan Jepun dari Barat. Tetapi, proses membina ilmu melalui terjemahan ini tidaklah natural. Selepas bangsa itu maju, ia perlu menjana ilmunya sendiri, dan mengungkapkannya dalam bahasanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Jepun dan Eropah yang membolehkan mereka mengekalkan kemajuannya. Proses meningkatkan martabat bahasa itu berlaku serentak dengan pembangunan bangsa. Sejarah membuktikan bangsa dan bahasa membangun serentak, dan bukannya satu mendahului yang lain. Majukan bangsa dulu dan kemudian bahasanya juga turut maju, tidak berlaku dalam sejarah pembangunan tamadun manusia. Apabila maruahnya kita jatuhkan, bahasa itu tidak akan perkasa lagi.
6. Nasib Sekolah Bahasa Hawai
Pemimpin kita sering membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu sudah mantap. Oleh itu ia tidak perlu digunakan dalam pendidikan, dan ia tidak diketepikan. Kita tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada bahasa Melayu akibat tindakan ini. Mari kita lihat sebuah kes. Saya meminjam kajian Simanjuntak dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Saya mengambil satu contoh saja, iaitu, bagaimana bahasa Hawaii pupus, dan sekaligus bagaimana bangsa Hawaii luput dan kehilangan maruah. Pada tahun 1820 Ratu Kamehameha I menerima guru Inggeris masuk ke pulaunya. Dia didesak oleh peniaga-peniaga asing berbahasa Inggeris supaya mendirikan sekolah Inggeris untuk anak-anak mereka. Dia mengalah. Pada tahun 1848, Ratu Kamehameha III memutuskan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar pendidikan. Golongan bawahan rakyat yang menjadi majoriti mahu mempertahankan bahasa Hawaii. Tetapi mereka kalah kepada golongan elit yang terdiri daripada orang Hawaii berbahasa Inggeris dan kaum haole (kacukan). Mereka ini tidak ramai. Alasan mereka ialah ... supaya bahasa Inggeris diajar kepada seluruh negara, dan ini sekaligus membuka sumber ilmu yang luas kepada mereka ... Bingham, (1848:44). Samalah dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia.
Seorang ahli sejarah, Reinicke (1969:70-71) melaporkan, pada tahun 1848 ada 624 sekolah berbahasa Hawaii dengan murid seramai 19,644 orang. Pada masa itu hanya ada 7 sekolah Inggeris swasta dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1893 semasa Ratu Liliuokalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, hanya tinggal 28 sekolah Hawaii dengan 552 murid. Sekolah Inggeris Kerajaan meningkat menjadi 140 buah dengan murid seramai 10,160 orang. Pada 1902 semua sekolah berbahasa Hawaii pupus.
Hilanglah bahasa Hawaii dari buminya sendiri. Apabila bahasanya pupus, bangsanya juga hilang maruah. Bangsa Hawaii tidak wujud lagi. Mereka hanya menjadi bangsa serpihan kepada bangsa Amerika. Setiap bahasa mempunyai ekologi sendiri. Ikan mempunyai ekologinya, persekitarannya, airnya, makanannya, binatang lain yang hidup bersamanya, dll. Bahasa juga mempunyai ekologi sendiri. Penuturnya, fungsinya, persekitarannya, dll. Apabila fungsi menyampaikan sains dan teknologi digugurkan, kita mengusik ekologinya, kemusnahannya akan mengikut.
Kesimpulan
Memandangkan perbincangan di atas, maka kita melihat korelasi di antara bahasa pengantar pendidikan, bahasa pentadbiran, pembinaan kepustakaan, kreativiti bangsa, dengan pembangunan tamadun bangsa. Oleh itu diusulkan supaya:
1. Bahasa Melayu dikekalkann sebagai bahasa pengantar ilmu pada semua peringkat pendidikan 2. Kerajaan mengambil langkah membina kepustakaan berbahasa Melayu 3. Kerajaan mengambil langkah supaya bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dipertingkat. Rujukan
1. Asraf, Manifesto Budaya: Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa, Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 1996. 2. Ainon Mohd., Masalah Bahasa Asing Sebagai Bahasa Nasional, Utusan Malaysia, 2 Julai 1985. 3. A. Samad Ismail, Bangsa Malaysia Berdasarkan Bahasa Melayu, Pelita Bahasa, November 1995. 4. Adnan Haji Awang, Z'aba dan Orang Melayu, Seminar Memperingati 100 Tahun Z'aba, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 19-20 Oktober 1995. 5. Awang Sariyan, Seminar Tamadun BerBahasa Melayu Menjelang Tahun 2020: Resolusi Umum, Jurnal Dewan Bahasa, September 1995. 6. Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in The Muslim World, Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1994. 7. Butts, R.F., The Education of the West, MacGraw Hill, New York (1973). 8. Chai Hon Chan, Education and Nation Building in Plural Societies: The West Malaysia Experience, Canberra: The Australian National University - Development Studies Centre, Monograph No 6, 1977. 9. Chelliah, D.D., A History of the Educational Policy of The Straits Settlements with Recommendations for a New System Based on Vernaculars, Kuala Lumpur: Govt. Press, 1948. 10. Collins, J.T., Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Antarabangsa: Antara Kenyataan dan Keraguan, Kongres Cendekiawan Melayu Ke-4, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 28-29 Julai 1995. 11. Coulmas, F., With Forked Tongues; What Are National Languages Good For?, Singapore: Karoma Publishers, Inc, 1988. 12. Hassan Ahmad, Cabaran Dunia Berbahasa Melayu, Pelita Bahasa, November 1995. 13. IRDAC (Industrial Research and Development Advisory Committee of the Commission of European Communities) and ERT (European Round Table of Industrialists) 1994. Laporan yang dibentangkan oleh Tuula Kauto-Koivula, Nokia, Finland. 14. Lampikoski Kari & Emden Jack, Igniting Innovation (1996), John Wiley & Sons, England. 15. Lorriman John & Kenjo Takashi, Japan's Winning Margins (1994), Oxford University Press, Oxford. 16. Murakami T., & Nishikawa, The Age of Creation, 17. Mangantar Simanjuntak, Maju Bahasa Majulah Bangsa, Tamadun, Januari 1997. 18. Nakosteen, Mehdi, History of Islamic Origins of Western Education A.D. 800-1350, Boulder: University of Colorado Press, 1964. 19. Nishikawa T. (1991) Strategy For Creation (terj.), Woodhead Publishing Ltd., Cambridge. 20. O’Leary, De Lacy, Arabic Thought and Its Place in History, London, Routledge & Kegan Paul Ltd., 1922 (Cetakan semula 1966). 21. Sunday Times, 9 Julai 1995. 22. Whorf, B.L., Language, Thought and Reality, Cambridge, MA: MIT Press, 1956.
| Comments |
|
!joomlacomment 4.0 Copyright (C) 2009 Compojoom.com . All rights reserved."
Terakhir dikemaskini (Jumaat, 11 Disember 2009 22:18)


