Bicara Pendeta
Bahasa Melayu Sebagai Teras Maruah Bangsa
Bahasa Melayu Sebagai Teras Maruah Bangsa
Oleh Abdullah Hassan
Pidato Munshi Abdullah, Anjuran Lembaga Bahasa Melayu, Rumah Adat, Muara Sungai Duyung, Melaka, 8 Disember 1995.
PENGENALAN
Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum. Mereka berbeza dari segi etnik, budaya, agama dan bahasa. Oleh sebab itu, pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita telah membuat perancangan sosial untuk menyatukan mereka. Dalam perancangan ini, pendidikan dimanipulasi untuk melahirkan bangsa Malaysia. Pendidikan ini pula disampaikan melalui Bahasa Kebangsaan. Hasrat ini termaktub dalam Penyata Razak (1956), yang mahu "budak-budak ini hendaklah belajar perkara yang sama melalui Bahasa Kebangsaan yang sama" untuk melahirkan bangsa yang bersatu dan "menganggap Persekutuan Tanah Melayu ini sebagai negara mereka".
Bahasa Kebangsaan adalah bahasa rasmi yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbirkan negara. Oleh sebab Bahasa Kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu, maka pada bahasa Melayu itulah terletaknya teras maruah bangsa Malaysia.
Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan
Salah satu daripada perkara utama yang dipustuskan sebaik saja Malaya (Malaysia sejak 1963) mencapai taraf berkerajaan sendiri ialah Bahasa Kebangsaan. Sebelum merdeka, Malaya ditadbirkan oleh Inggeris dengan menggunakan bahasa Inggeris. Apabila Malaya mencapai kemerdekaan, maruah kita sebagai satu bangsa tertebus kembali. Bangsa yang bermaruah mempunyai Bahasa Kebangsaan sendiri. Oleh sebab itu Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, yang mengatakan “kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai Bahasa Kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan sebuah bahasa peribumi” Wong and Ee (1971:78).
Walaupun isu Bahasa Kebangsaan sering menimbulkan reaksi yang meruncing di sesetengah negara, ia merupakan satu isu yang mudah dipersetujui di Malaysia. Ini adalah sebuah petanda baik sebab “pemilihan Bahasa Kebangsaan lazimnya penuh dengan sengketa” (Eastman, 1983:5). Kaum etnik yang mendiami negara ini bersedia untuk bersatu melalui satu Bahasa Kebangsaan. Penerimaan bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan berlaku seawal tahun 1947. Sebuah Perlembagaan Cadangan telah dibentuk oleh All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang mewakili kaum bukan Melayu, dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang mewakili kaum Melayu. Mereka mencadangkan supaya “bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan tunggal negara. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain tidak dihalang” (Khong Kim Hong, 1984:113).
Hasrat ini menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.
Pembentukan Bangsa Malaysia Melalui Bahasa Melayu
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan telah mula menunjukkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang kita bina. Sistem pendidikan melalui bahasa Melayu telah membina generasi muda yang menggunakan bahasa Melayu dengan fasih. Rakyat bukan Melayu yang menuturkan bahasa Melayu dengan fasih ini dapat menunjukkan ciri kemalaysiaan, seperti yang diamati oleh A. samad Ismail terhadap kaum etnik Cina di Indonesia (1955). Beliau melaporkan bahawa kaum etnik Cina di Indonesia menganggap dirinya berbangsa Indonesia setelah mampu menuturkan bahasa Indonesia dengan fasih.
Pendidikan melalui bahasa Melayu ini juga telah menghasilkan generasi bukan Melayu yang mudah menerima identiti Malaysia. Ada rakyat bukan Melayu menggunakan samping, dan songkok, pakaian Melayu untuk menghadiri sesuatu upacara seperti perkahwinan, menerima anugerah, dll. Sebagai contoh, Alex Lim memakai samping dan songkok untuk menerima anugerah iklannya (The Leader, 13 Oktober). Kaum lain juga menjadi lebih terbuka dan menikmati perayaan antara kaum, makanan antara kaum, pakaian antara kaum, muzik antara kaum, dll. Ini adalah suatu ciri yang merentas kaum etnik, atau sudah menjadi ciri kemalaysiaan.
Melalui sistem pilihanraya kita juga melihat pertumbuhan yang sihat dalam membentuk bangsa Malaysia. Pada awal sisem pilihanraya dijalankan, setiap kaum etnik cenderung mengundi calon daripada kaum etniknya saja. Dalam pilihanraya yang lalu, pengundi muda mula menunjukkan perkembangan baru. Kita dapati pengundi muda Melayu memilih calon MCA, MIC, dan Gerakan. Sebaliknya, pengundi muda bukan Melayu pula memilih calon UMNO. Ini menunjukkan sudah ada perkembangan positif dalam pembentukan bangsa Malaysia, tanpa mengira kaum etnik, bahasa dan agama lagi.
Hasil yang signifikan daripada pembinaan bangsa ialah pendidikan melalui bahasa Melayu telah berjaya mendemokrasikan ilmu dan memajukan rakyat. Ini menyebabkan kaum Melayu yang dulunya tersisih daripada perkembangan ekonomi negara dapat sama-sama menikmati kejayaan ekonomi tersebut. Mereka tidak lagi merasa berada dalam keadaan yang merugikan. Oleh sebab itu mereka menjadi lebih terbuka dan menerima konsep bangsa Malaysia.
Ciri-Ciri Bahasa Yang Matang
Sebuah bahasa yang menjadi teras maruah bangsa mempunyai ciri-ciri intrinsik dan ekstrinsik yang matang. Ciri-ciri intrinsiknya ialah ia mempunyai unsur-unsur fizikal, mampu melaksanakan fungsi tinggi, menjadi wahana pemikiran tinggi, dan mengandungi ilmu tinggi dan kompleks.
Secara ekstrinsik, bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri fizikal yang sempurna kerana ia sudah mempunyai sistem ejaan, sebutan, nahu, kamus, ensiklopedia, dan rujukan. Ensiklopedia dan buku-buku rujukan sedang diperbanyak. Bahasa yang sempurna ciri-ciri fizikalnya dapat melaksanakan fungsi-fungsi tinggi. Ia digunakan dalam bidang diplomatik, perdagangan, perniagaan, kebudayaan, agama, dll. Sebenarnya, pakar bahasa sudah lama mengatakan bahawa bahasa Melayu itu sudah lama menjadi bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera pada peringkat nasional, bahkan bahasa supranasional (Simanjuntak, 1995).
Bahasa Kebangsaan yang matang juga dapat menjadi wahana mengungkapkan ilmu tinggi, seperti falsafah, sains, seni, dan sastera. Sebelum 1955, bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah rendah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kemudian, bahasa Melayu digunakan untuk pengajian menengah. Selepas itu bahasa Melayu digunakan di institusi pengajian tinggi. Pada tahun 1983, proses ini sempurna dijalankan. Pada hari ini, universiti-universiti kerajaan menjalankan pengajarannya dalam bahasa Melayu. Sejarah menyatakn bahasa Melayu klasik pernah mengungkapkan ilmu yang canggih dan mendalam mengenai agama dan budaya memang tidak dapat dinafikan. Nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Raniri, tidak boleh diketepikan. Tetapi pada hari ini, bahasa Melayu sudah berkembang lebih maju lagi. Di dalamnya terdapat buku-buku ilmu, sains dan teknologi yang diajarkan di universiti. Bahasa Melayu sudah mengandungi ilmu.
Kita juga dapat mengamati bahawa bahasa Melayu dituturkan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Ia digunakan untuk mentadbirkan negara. Malah sultan-sultan (Ternate) Melayu dahulu menggunakan bahasa Melayu untuk perhubungan diplomatik. Ia telah lama menjadi bahasa tamadun Melayu yang diiktiraf oleh jirannya.
Dari segi ekstrinsik, kita dapat melihat bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa yang digunakan untuk pentadbiran dan menyampaikan pendidikan. Bilangan penutur bahasa Melayu di Malaysia sekitar 15 juta orang. Apabila dikira keseluruhan penduduk negara-negara yang menuturkan bahasa Melayu maka jumlahnya menjadi hampir 250,000,000 orang. Jumlah sebesar ini adalah gambaran bahasa yang mempunyai kedudukan penting. Ia menjadi bahasa ibunda segolongan besar penduduk wilayah Asia Tenggara. Ia mempunyai dialek-dialek tempatan yang berlainan serta dialek standard yang dimengerti di seluruh Asia Tenggara. Ia juga menjadi bahasa kebangsaan Brunei, Indonesia dan Malaysia. Bahasa Melayu ini diajar di beberapa universiti di luar negara (Nik Safiah Karim, 1995). Walaupun bahasa Indonesia itu bersumberkan bahasa Melayu, tetapi ia sudah berkembang dan ia adalah bahasa Indonesia (Ismail Hussein, 1995). Begitu juga kesnya dengan Brunei dan Singapura. Ketiga-tiga bahasa ini mengongsi sumber yang sama, iaitu bahasa Melayu.
Bahasa-Bahasa Yang Bersumberkan Bahasa Melayu Dan Potensinya
Rantau yang menuturkan bahasa-bahasa yang bersumber pada bahasa Melayu ini mempunyai kerangka hubungan sejak 23 tahun lalu, iaitu MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia), dengan Singapura sebagai pemerhati. Kerangka ini dapat menggerakkan keempat-empat negara supaya memanfaatkan potensi bahasa Melayu itu untuk menegakkan maruah masing-masing negara dan bangsa. Namun demikian, kerangka hubungan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan Ismail Hussein (1955) mencadangkan supaya badan ini memperluas bidang usahanya bagi mempertemukan ahli-ahli bidang ilmu bagi meningkatkan perkembangan bahasa Melayu menjadi bahasa moden yang bermaruah. Potensi bahasa-bahasa yang berkongsi satu sumber yang sama ini terletak pada kemampuan penuturnya yang ramai itu. Ia telah menjadi sebuah bahasa supranasional.
MARUAH BANGSA MALAYSIA
Maruah bangsa itu ialah kemerdekaan. Kemerdekaan ini dapat dilihat dari segi bahasa, minda, politik, ekonomi, budaya, dan agama. Apabila kemerdekaan mana-mana aspek ini hilang, maka maruah kita juga tergugat. Kemerdekaan bahasa menentukan kemerdekaan aspek-aspek lain. Negara-negara yang memilih bahasa peribumi sendiri menjadi Bahasa Kebangsaan berhasil mencapai kemerdekaan serta mengekalkan dan meningkatkan survival mereka sebagai bangsa bermaruah. Yang tidak menggunakan bahasa peribumi sebagai Bahasa Kebangsaan, masih belum mencapai kemajuan ekonomi. Bahasa pinjaman yang mereka gunakan tidak dapat memberi mereka kemakmuran ekonomi. Ekonomi negara-negara begini masih belum mampu memerdekakan rakyatnya daripada kemiskinan.
Mangantar Simanjuntak (1995) telah membuat empat pengamatan, iaitu:
a. Negara yang menggunakan bahasa asing sebagai pengantar pendidikan, hanya menjadi maju setelah menggunakan bahasa peribumi sendiri.
b. Tidak ada bangsa yang maju dengan pengertian sebenarnya jika menggunakan bahasa asing.
3. Negara dunia ketiga, yang menggunakan bahasa penjajah masih belum dapat memajukan dirinya.
4. Negara-negara dunia ketiga yang menggunakan bahasa peribumi cepat maju, seperti Korea, Taiwan, Thailand, Indonesia, Malaysia.
Bahasa Melayu Membina Maruah Ekonomi Bangsa Malasyia
Kenapa kita mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan? Ada bukti menunjukkan bahawa bahasa peribumi lebih berkesan menyampaikan pendidikan. Kajian telah dilakukan untuk mengetahui kesan mengajarkan ilmu melalui bahasa peribumi (yang lazimnya menjadi Bahasa Kebangsaan) dan bahasa pinjaman. Kajian tersebut dilakukan di Ireland terhadap penggunaan bahasa Gaelik iaitu bahasa peribumi mereka untuk mengajarkan matematik kepada kanak-kanak sekolah rendah. Dapatan kajian tersebut membuktikan bahawa kanak-kanak yang diajarkan matematik melalui bahasa Gaelik itu dapat memahami pelajarannya dengan cepat dan berkesan. Pada masa yang sama kanak-kanak yang diajarkan pelajaran yang sama melalui bahasa Inggeris menunjukkan kefahaman yang rendah. Terbukti bahawa mengajarkan matematik dengan menggunakan bahasa peribumi itu adalah lebih berkesan daripada menggunakan bahasa pinjaman.
Kita dapat mengambil iktibar daripada kajian di Ireland itu. Mengajar ilmu melalui peribumi itu lebih berkesan. Ini bermakna, bahasa Melayu itu adalah lebih berkesan untuk menyampaikan ilmu. Bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi di semua tahap pendidikan.
Bahasa pinjaman tidak dapat memberi kesan yang sama
Dasar Pendidikan Malaysia termaktub dalam Penyata Razak (1956) yang desemak semula menjadi Penyata Rahman Talib (1961) dan kemudiannya menjadi Akta Pendidikan 1961. Sebelum Penyata Razak dilaksanakan sepenuhnya, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar utama. Bahasa Melayu, Cina dan India juga digunakan di sekolah masing-masing. Hanya sekolah Cina yang berkembang hingga ke peringkat universiti. Sekolah Melayu dan India tidak berkembang melampaui peringkat rendah. Hanya sebilangan kecil pelajar Melayu dimasukkan ke sekolah Inggeris. Ini menyebabkan 88% orang Melayu tidak menerima pendidikan pascamenengah. Akibatnya, mereka tersisih daripada kemajuan ekonomi.
Bahasa Inggeris berpusat di bandar-bandar besar. Orang Melayu di luar bandar, dan golongan miskin di bandar mengalami nasib yang sama. Majoriti daripada mereka adalah orang Melayu. Pelajar Cina di bandar-bandar kecil dan pelajar India di ladang-ladang getah juga mengalami nasib yang sama dengan pelajar Melayu. Hanya 12% pelajar Melayu yang sampai ke Universiti Malaya. Yang masuk ke aliran sains dan teknologi kurang daripada 1%. Pelaksanaan dasar pendidikan dalam Penyata Razak sempurna selepas 1983, apabila sekolah kebangsaan dan Institusi Pengajian Tinggi melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya. Sistem ini telah berjaya membawa pendidikan kepada semua lapisan rakyat. Sistem ini memang menguntungkan orang Melayu tetapi tidak pula merugikan bukan Melayu. Kejayaan dasar pendidikan menyampaikan ilmu melalui bahasa Melayu ini telah menimbulkan rakyat berilmu. Rakyat berilmu inilah yang mencetuskan kemajuan ekonomi di negara ini. Pencapaian ekonomi melebihi 8% setahun untuk tujuh tahun berturut-turut.
Hanya apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar ilmu, barulah rakyat terbanyak dapat menerima ilmu. Kemudian barulah ekonomi dapat dibangunkan.
Itulah juga proses yang berlaku di dalam sejarah Eropah. Semasa empayar Romawi menguasai Eropah, kuasa Gereja Kristian yang berpusat di Romawi juga berkembang ke seluruh Eropah. Oleh sebab Gereja Kristian menggunakan bahasa Latin maka bahasa itu juga turut berkembang ke seluruh Eropah. Oleh sebab ilmu ada pada golongan gereja, maka bahasa Latin juga menjadi bahasa ilmu. Universiti-universiti di Eropah menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa pengantar ilmu. Akibatnya, selama 1,500 tahun ilmu pengetahuan terkepung di kalangan segelintir elit Eropah, manakala rakyat Eropah kejahilan ilmu.
Hanbury Brown, dalam bukunya, The Wisdom of Science: Its Relevance to Culture and Religion (1986) menunjukkan bagaimana ilmu terkepung di dalam bahasa Latin, dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan masyarakat Eropah dalam Zaman Pertengahan. Sejak kurun ke-16 lagi, pengetahuan mengenai bakteria dan kitaran darah telah diketahui. Walau bagaimanapun pengetahuan ini telah terkepung di dalam bahasa Latin. Oleh sebab bahasa Latin tidak difahami oleh rakyat, maka ilmu itu tidak sampai kepada mereka. Ilmu terkepung dalam bahasa Latin di kalangan ilmuwan. Akibatnya, ilmu tersebut tidak dapat dimanfaatkan untuk memajukan bidang ilmu perubatan. Hanya apabila ilmu disampaikan di dalam bahasa peribumi rakyatnya, barulah ia dapat difahami. Setelah difahami, barulah ilmu itu dimanfaatkan. Ilmu itulah yang mencetuskan revolusi industri di Eropah, sekaligus mencipta kemerdekaan ekonomi negara dan bangsa-bangsa di Eropah pada kurun ke-18 dan ke-19.
Ada teori yang mengatakan, oleh sebab bahasa bekas penjajah telah maju, maka kita boleh turut maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah. Bukti sejarah membuktikan sebaliknya. India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika Latin. Negara-negara ini masih terus menguji. Tidak usahkan maju, melepasi paras kemiskinan pun belum mampu.
Bahasa-bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia juga mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat. Hanya negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan ekonomi negaranya.
Begitu jugalah proses yang berlaku di Malaysia. Selama pendidikan disampaikan melalui bahasa penjajah, bahasa itu mengepung ilmu. Rakyat Malaysia tidak menerima pendidikan dengan menyeluruh. Apabila pendidikan disampaikan melalui bahasa Melayu, ilmu dapat disebarkan dengan cepat dan berkesan. Rakyat Malaysia menikmati pendidikan yang diliberalkan melalui bahasa Melayu. Rakyat yang berilmu inilah yang memajukan Malaysia. Itulah peranan langsung bahasa Melayu dalam membina kemakmuran ekonomi, memerdekakan rakyat daripada kemiskinan. Pembangunan ekonomi ini sekaligus membina maruah ekonomi bangsa Malaysia.
Membentuk Minda Asli Bangsa Malaysia Yang Kreatif
Bahasa yang kita gunakan untuk menyampaikan pendidikan membina kerangka minda bangsa itu. Penggunaan bahasa peribumi akan membina minda peribumi, dan penggunaan bahasa pinjaman akan membina minda bahasa pinjaman.
Gagasan ini mempunyai asas dalam Hipotesis Sapir-Whorf. Sapir dan Whorf adalah dua orang tokoh sosiologi bahasa yang mengemukakan pendapat mereka berkenaan pengaruh bahasa pada cara manusia memahami alam fizikalnya. Menurut mereka, manusia hidup dalam dunia konkrit dan dunia aktiviti sosial. Oleh sebab itu manusia tertakluk kepada bahasa yang menjadi media pengucapan bangsanya. Menurut mereka, manusia sentiasa menyesuaikan diri dengan realiti dengan menggunakan bahasa. Bahasa bukanlah sekadar alat komunikasi yang dengan tidak secara sengaja kita gunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah komunikasi antara manusia dan alat berfikir yang spesifik. Mereka mengatakan apa yang kita fahami sebagai dunia sebenar ini pada dasarnya adalah realiti yang kita bina secara tidak kita sedari berdasarkan bahasa yang kita gunakan. Kita melihat, mendengar dan mengalami realiti seperti halnya sekarang, semuanya kerana bahasa yang kita gunakan. Struktur bahasa kita telah awal-awal lagi menentukan bagaimana kita seharusnya memahami realiti. Tiap-tiap bahasa, melalui perbendaharaan kata dan hukum-hukum nahunya telah menentukan bagaimana pengguna bahasa-bahasa itu seharusnya memahami dunianya. Oleh yang demikian, dua orang penutur bahasa yang berlainan akan menyaksikan dan memahami alam yang satu ini sebagai dua alam yang berlainan.
Berdasarkan hipotesis ini, apabila sesuatu bangsa menukar bahasanya, maka bangsa itu bukan hanya menukar alat komunikasinya, tetapi bangsa itu juga menukar persepsinya
berkenaan dirinya dan persepsinya tentang alam kelilingnya. Akibat daripada perubahan persepsi itu bangsa tersebut akan mengubah nilai-nilainya dan seterusnya mengubah perilakunya.
Di dalam bukunya The Problem of Ideas in The Muslim World, Malik Bennabi mengatakan gejala penggunaan bahasa asing di universiti mencipta idea-idea yang asing kepada budaya peribumi. Di dalam masyarakat-masyarakat Islam yang melalui proses ini, terdapat dua golongan elit, satu elit berbahasa kolonial dan satu elit berbahasa peribumi. Di peringkat bawah juga terdapat dua golongan masyarakat, satu bahasa kolonial dan satu bahasa peribumi. Satu minda asli, dan satu lagi minda asing. Kedua-duanya tidak dapat hadir bersama dalam satu budaya. Kehilangan minda asli mempunyai kesan langsung kepada kreativiti.
Setiap bangsa memiliki minda asli masing-masing, tetapi minda asli tersebut dapat hilang apabila minda itu dikuasai oleh bahasa asing. Bangsa Melayu mempunyai minda asli tetapi minda asli itu hilang apabila minda Melayu dikuasai oleh bahasa Inggeris. Inilah yang berlaku kepada kreativiti bangsa India apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka. Bandingkan dengan kejayaan bangsa Jepun mengekalkan kreativiti minda aslinya apabila mereka terus menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka.
Kita dapat melihat bagaimana Jepun mengekalkan minda aslinya melalui bahasanya sendiri. Pada tahun 1856 Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun yang diancam oleh Barat mesti belajar dari Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri. Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden yang berminda Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar dari Barat untuk maju. Count Okuma membuat laporan mengenai pendidikan di Jepun dalam buku Japan by Japanese (1904) berkata, Jepun mesti kekal Jepun untuk Jepun. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Mereka mementingkan kemandirian ilmu. Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.
Pada mulanya Jepun mencuba menggunakan bahasa pinjaman sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai kepada rakyat dengan sempurna. Jepun mementingkan penguasaan ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Selepas itu, Jepun menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat.
Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu barat, tetapi berhasil mencipta teknologi Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dll. Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi minda asli yang dominan dan kreatif. Minda asli ini dapat mengekalkan kreativitinya. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, dengan menggunakan ilmu dari Barat, iaitu logam dan haba, Jepun mencipta teknologi periuk nasi automatik. Jepun mencipta traktor kecil. Jepun mencipta penjana elekrik kecil. Dan banyak lagi yang mereka cipta dengan menggunakan teknologi Jepun. Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka.
Bangsa-bangsa Asia lain yang memakan nasi ramai. Misalnya India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa sendiri, keaslian minda mereka tidak wujud, kreativiti minda mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Tetapi mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya, sekaligus meningkatkan maruah bangsanya.
Mari kita lihat sebuah contoh yang berlaku di dalam negara kita. Ramly Mokni berjaya membina perusahaan burgernya sehingga menjadi perusahaan burger yang terbesar dalam negara pada hari ini. Perusahaannya menjadi maju kerana dia menjual burger melalui sistem gerai. Sekiranya Ramly terdidik dalam bahasa Inggeris daripada sebuah universiti Inggeris, dia tidak akan pernah terfikir tentang gerai. Dia akan cuba meneruskan budaya Mcdonald, KFC, dan A&W untuk menjual burger. Keaslian minda dan kreativiti Ramly kekal. Oleh sebab itu dia menjual burger seperti menjual nasi lemak. Di situlah keaslian kreativiti minda Melayu yang dikekalkan oleh pendidikan melalui bahasa bahasa Melayu. Itulah yang membawa kejayaannya.
Thailand juga menyampaikan pendidikan dalam bahasa Thai, dan minda rakyat Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami perkembangan ekonomi. Inilah juga kawasan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sendiri dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli. Bangsa-bangsa ini dapat bermegah dengan kejayaan material negaranya. Kejayaan-kejayaan inilah yang meningkatkan maruah bangsanya.
Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman kita akan kehilangan keaslian minda kita. Kita akan melahirkan minda serpihan yang tidak mampu menandingi minda penutur kandung bahasa pinjmaan itu. Kita akan hanya membina budaya serpihan kepada budaya bahasa pinjaman itu. Dia juga tidak akan menjadi sebahagian daripada minda bangsanya. Dia akan mencurigai bahasa dan budayanya sendiri. Dia akan memandang rendah kepada bahasa dan minda bangsanya sendiri. Minda yang tertawan oleh minda bahasa pinjaman ini akan sentiasa mengagungkan bahasa asing itu. Minda yang terbina melalui bahasa pinjaman tidak akan bebas daripada pengaruh minda bahasa pinjaman itu. Tidak ada keasliannya. Minda serpihan demikian tidak merdeka. Minda yang tidak merdeka itu tidak akan membawa sumbangan kepada pembangunan ekonomi negaranya.
Oleh sebab itu pendidikan melalui bahasa pengantar Melayu mesti dipertingkatkan. Bangsa Malaysia sudah berjaya meneruskan minda asli yang disemai melalui pendidikan yang disampaikan melalui bahasa Melayu. Bahasa Melayu mengekalkan minda asli bangsa Malaysia. Minda asli adalah teras maruah bangsa Malaysia.
Bahasa Melayu Membina Sains Peribumi
Konsep sains peribumi ini dilahirkan oleh Prof. Shahrir Mohd. Zain dalam Seminar Pendidikan Negara Abad Ke-21 (1995). Konsep sains peribumi ini bermaksud sains yang berasaskan sumber, keperluan, dan isu-isu kemalaysiaan. Konsep beliau ini bermaksud sains peribumi Malaysia ini dibina dengan memberi tekanan kepada aspek budaya dalam pendidikan sains di sekolah dan universiti. Dia meramalkan tindakan kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan sains dan teknologi akan memusnahkan usaha-usaha mencipta sains berdasarkan acuan Malaysia. Ia akan mengembalikan cengkaman penjajah dalam pendidikan sains Malaysia. Menurut beliau hanya bahasa Melayu yang akan menggabungkan unsur budaya Malaysia dalam pembinaan sains peribumi Malaysia.
Menurut beliau, cadangan untuk mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi adalah berdasarkan kepada andaian salah. Pertama, pemimpin negara percaya yang pelajar peribumi sudah sanggup bersaing dalam bahasa Inggeris walaupun mereka tahu penguasaan bahasa itu sangat buruk di kalangan pelajar peribumi. Kaum peribumi sudah sanggup membuang jatidiri sebagai suatu strategi mencapai kejayaan material. Ketiga, kaum peribumi percaya yang kekayaan material akan sekaligus memertabatkan budaya mereka. Keempat, dengan membuang paradigma lama kaum peribumi akan dapat membuat lonjakan besar di alam global.
Ini adalah andaian daripada kaum elitis yang sibuk dengan isu globalisasi dan buta terhadap isu serius kaum peribumi. Ia juga merupakan andaian elitis yang sudah tercabut akar umbinya. Mereka tidak lagi mempunyai patriotisme bahasa untuk mempertahankan bahasa Melayu, walaupun bahasa Melayu telah menunjukkan kejayaan.
Pembinaan sains Malaysia melalui bahasa Melayu akan mengembangkan sains dan teknologi yang bercorak Malaysia, seperti yang dilakukan oleh Jepun, Korea, Cina dan Taiwan. Barulah sains dan teknologi itu membentuk sains peribumi bagi menyelesaikan dan memenuhi keperluan bangsa Malaysia. Ini akan membebaskan kita dari pergantungan kepada sains dan teknologi luar. Kebanyakan kemajuan material sekarang masih bergantung kepada sains dan teknologi asing. Misalnya, kilang Proton bergantung kepada Jepun untuk enjin motorkarnya. Pendidikan sains masih memerlukan agenda untuk membina kemerdekaan dalam sains dan teknologi. Apabila Jepun masih belum memindahkan teknologi membina enjin kereta Proton, industri Proton terancam. Oleh sebab ini adalah industri negara, maruah negara dan bangsa Malaysia juga terlibat. Pengajaran sains dan teknologi melalui bahasa Melayu akan membina kreativiti kita sendiri untuk memenuhi keperluan Malaysia. Kita akan sekaligus menegakkan maruah bangsa Malaysia.
Bahasa Melayu Menjamin Survival Budaya Bangsa Malaysia
Bahasa ialah alat pengucapan dalam budaya kita. Melalui bahasa Melayu kita menghantar nilai-nilai, konsep-konsep budaya bangsa Malaysia. Dalam bahasa itu terkandung nilai-nilai budaya, atau pandangan dunia bangsa Melayu. Kita dapat melihat satu contoh yang nyata. Apabila Israel kembali ke negara asalnya, pemimpinnya menghidupkan bahasa asalnya, Hebrew. Tujuannya ialah mengembalikan jatidiri orang Israel. Setiap kanak-kanak diajarkan bahasa Hebrew itu. Dengan demikian, mereka membina kembali bangsa Israel, jatidirinya, budayanya, agamanya, sistem politiknya dan sistem pendidikannya. Dengan mengembalikan semula bahasa Hebrew itu, bangsanya hidup semula sebagai bangsa yang bermaruah. Ini dibina kembali melalui bahasa Hebrew, Bahasa Kebangsaan Regim Israel.
Daripada bukti sejarah kita dapat melihat peristiwa hilang bahasa, hilanglah maruah bangsa. Apabila bahasa Hawaii pupus, bangsanya juga pupus. Pada hari ini usaha menghidupkan semula bahasa Hawaii mengalami kesukaran sebab bangsa Hawaii pun sudah tidak tulen lagi. Berlainan dengan bangsa Israel, jatidirinya sangat kukuh. Apabila terpaksa merantau ke luar negara asalnya, mereka mengekalkan jatidiri. Semasa di perantauan, mereka mengalami perubahan dan penyesuaian sehingga dapat menjadi kaum yang dominan dalam negara-negara yang didiaminya. Tetapi jatidirinya kekal. Apabila pulang ke negaranya, mereka masih belum kehilangan ciri jatidirinya yang penting, bahasa, nilai-nilai dan pandangan dunianya. Sekarang mereka mengembalikan maruah bangsanya setelah menghidupkan semula bahasa Hebrew. Survival budaya sesuatu bangsa itu hanya melalui bahasanya. Pada bahasanya itulah terletaknya maruah bangsa itu.
Dalam Seminar Pendidikan Kebangsaan di UKM yang lalu, Che Mazlan Saad, dari JIM, menyampaikan sebuah kertas kerja bertajuk “Isu-Isu Amalan Agama, Moral Dan Bahasa Melayu”. Beliau mengatakan, usaha-usaha pemantapan budaya, amalan agama, moral dan nilai hendaklah dilakukan melalui bahasa Melayu. Ini juga perlu diambil berat oleh IPT swasta. Kita dapat melihat bahawa istilah-istilah agama Islam sudah sebati dalam bahasa Melayu.
Penggunaan sebarang bahasa lain tidak akan membawa isi yang sama. Survival agama dan nilai hanya dapat diteruskan melalui bahasanya sendiri.
Kemerdekaan sistem politik sesuatu bangsa juga terletak pada bahasanya sendiri. Bahasa asing akan membelenggu sistem politik sesuatu bangsa kepada bahasanya. Negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris akan meminjam kosep-konsep dan proses-proses politik bangsa Inggeris. Itulah juga yang berlaku kepada sistem kehakimannya. “Parliament” tidaklah sama dengan “Diet” di Jepun atau “Knesset” di Israel. Bahasa masing-masing akan menentukan konsep masing-masing. Oleh sebab itu kemerdekaan sistem politik, dan amalannya, bergantung kepada bahasa masing-masing. Pada bahasa itulah terletaknya maruah bangsa itu. Bahasa Melayu juga menjamin survival sistem politik Malaysia, dan maruah bangsa Malaysia.
Maruah Bangsa Malaysia Di Rantau Asia-Pasifik Dalam Abad ke-21
Rantau Asia-Pasifik akan menjadi pusat ekonomi dunia abad ke-21, di samping Eropah dan Amerika Utara. Dalam rantau Asia-Pasifik ini terdapat empat bangsa dan bahasa utama: Cina, Jepun, Korea dan Melayu. Bangsa Cina mempunyai dua kekuatan, iaitu dari segi jumlah manusianya, dan jaringan perniagaan antara komuniti Cina yang merantau (diaspora) di semua pusat ekonomi rantau ini iaitu Beijing, Hong Kong, Taipei, Singapura, Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur, dan Manila. Bangsa Jepun dan Korea mempunyai kekuatan pada sains dan teknologinya dan mendominasi sektor pembuatan.
Dalam rantau ini, di manakah kekuatan bangsa Melayu dalam masyarakat Asia-Pasifik yang bakal memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia abad ke-21? Kekuatan bangsa Melayu ada pada dua perkara: pertama pada bilangan manusianya yang berjumlah hampir 300 juta, dan kedua pada potensi bangsa Melayu itu sendiri. Dengan itu aspek kritikal survival bangsa Melayu ialah pada perjuangan pembinaan bangsa Melayu itu sendiri.
Melalui sistem pendidikan kebangsaan, kita akan membangunkan manusia Malaysia menjadi pewaris yang aktif untuk mewarnai masa depannya. Dengan ilmu dan teknologinya dia mesti berkuasa memimpin kaum-kaum lain yang mengongsi rantau geografi ini. Manusia Malaysia mesti menguasai sains dan teknologi dalam bidang-bidang industri supaya dapat mencipta teknologi sendiri untuk mendominasi skenario ekonomi serantau dan sedunia.
Kejayaan ini bergantung kepada kejayaan sistem pendidikan kebangsaan menyampaikan ilmu kepada seluruh rakyat. Ini hanya akan dapat dilakukan secara berkesan melalui Bahasa Kebangsaan Malaysia, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Penggunaan bahasa Melayu akan menimbulkan kesan yang dirancangkan. Pertama, ia akan mewujudkan wabak ilmu yang berasaskan sumber dan isu-isu peribumi. Kedua, ia akan mengekalkan minda asli bangsa Malaysia. Ketiga, ia akan membolehkan minda asli bangsa Malaysia berkreativiti dan mencipta alat-alat baru, proses-proses baru, bahan-bahan baru, hasil-hasil tanaman baru, teknik-teknik baru, dan apa-apa saja yang akan kita kenali sebagai teknologi Malaysia. Dengan itu kita akan dapat menentukan kedudukan kita dalam rantau Asia-Pasifik dan dunia abad ke-21 sebagai bangsa yang dan bermaruah.
Dalam ucapan pembukaan Kongres Bahasa Melayu Sedunia, Anwar Ibrahim, membuat pengamatannya bahawa tamadun sesuatu bangsa hanya terbina melalui bahasanya sendiri. Ia tidak mungkin dibina melalui bahasa orang lain. Mereka yang berangan-angan untuk membangunkan tamadun melalui bahasa pinjaman itu adalah elitis yang mahu peneruskan kepentingannya saja. Mereka ini tercabut akar umbinya dan hanyut dalam gelombang globalisasi.
Gagasan ini diperkukuh oleh konsep Kotkin yang mengatakn dunia akan datang dikuasai oleh mereka yang mempunyai lima ciri, iaitu: jatidiri etnik yang kuat, jaringan kerjasama, keterbukaan terhadap perubahan, menguasai ilmu dan teknologi, dan merantau (diaspora). Bangsa yang tidak mempunyai jatidiri yang kuat, yang tercabut akar umbinya, tidak akan dapat menguasai ekonomi dunia. Jatidiri ini ialah maruah bangsa. Jatidiri ini dibina melalui bahasa Melayu. Oleh itu, maruah bangsa kita terletak pada Bahasa Kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.
Cabaran Kepada Maruah Bangsa Malaysia
Pemimpin UMNO sering membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu sudah mantap. Oleh sebab itu kerajaan, melalui Menteri Pendidikan (Sunday Times 9 Julai 1995) mahu menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajarkan sains dan teknologi di institut pengajian tinggi. Di samping itu, pindaan kepada Akta Pendidikan disebut-sebut sebagai membenarkan universiti dan kolej swasta ditubuhkan dengan mengetepikan bahasa Melayu.
Kita tidak dapat membayangkan apa yang akan beralku kepada bahasa Melayu akibat tindakan ini. Mari kita lihat sebuah kes. Saya meminjam kajian Simanjuntak dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Saya mengambil satu contoh saja, iaitu, bagaimana bahasa Hawaii pupus, dan sekaligus bagaimana bangsa Hawaii luput dan kehilangan maruah. Pada tahun 1820 Ratu Kamehameha I menerima guru Inggeris masuk ke pulaunya. Dia didesak oleh peniaga-peniaga asing berbahasa Inggeris supaya mendirikan sekolah Inggeris untuk anak-anak mereka. Dia mengalah. Pada tahun 1848, Ratu Kamehameha III memutuskan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar pendidikan. Golongan bawahan rakyat yang menjadi majoriti mahu mempertahankan bahasa Hawaii. Tetapi mereka kalah kepada golongan elit yang terdiri daripada orang Hawaii berbahasa Inggeris dan kaum haole (kacukan). Mereka ini tidak ramai. Alasan mereka ialah ... supaya bahasa Inggeris diajar kepada seluruh negara, dan ini sekaligus membuka sumber ilmu yang luas kepada mereka ... Bingham, (1848:44). Samalah dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia.
Seorang ahli sejarah, Reinicke (1969:70-71) melaporkan, pada tahun 1848 ada 624 sekolah berbahasa Hawaii dengan murid seramai 19,644 orang. Pada masa itu hanya ada 7 sekolah Inggeris swasta dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1893 semasa Ratu Liliuokalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, hanya tinggal 28 sekolah Hawaii dengan 552 murid. Sekolah Inggeris Kerajaan meningkat menjadi 140 buah dengan murid seramai 10,160 orang. Pada 1902 semua sekolah berbahasa Hawaii pupus.
Hilanglah bahasa Hawaii dari buminya sendiri. Apabila bahasanya pupus, bangsanya juga hilang maruah. Bangsa Hawaii tidak wujud lagi. Mereka hanya menjadi bangsa serpihan kepada bangsa Amerika.
Setiap bahasa mempunyai ekologi sendiri. Ikan mempunyai ekologinya, persekitarannya, airnya, makanannya, binatang lain yang hidup bersamanya, dll. Bahasa juga mempunyai ekologi sendiri. Penuturnya, fungsinya, persekitarannya, dll. Apabila fungsi menyampaikan sains dan teknologi digugurkan, kita mengusik ekologinya, kemusnahannya akan mengikut.
AGENDA UNTUK BAHASA MELAYU MREMBINA MARUAH BANGSA MALAYSIA
Bagi membina ilmu bagi membangunkan bangsa Malaysia, kita perlu belajar daripada pengalaman Jepun. Dalam mempelajari ilmu dari Barat, Jepun menekankan keperluan mereka mengekalkan kemerdekaan untuk belajar dan menjamin kemandirian ilmu. Ini sejajar dengan gagasan sains peribumi. Untuk membina sains peribumi, beberapa strategi perlu dilakukan.
a. Menggubal dasar pengajaran ilmu dan sains & teknologi yang bersifat kebangsaan.
b. Bahasa Melayu digunakan sebagai alat pengucapan dan pembinaan ilmu dan sains & teknologi.
c. Memasukkan nilai-nilai tempatan dalam pengajaran ilmu dan sains & teknologi.
d. Melahirkan sebanyak mungkin ahli ilmu dan sains & teknologi yang mempunyai jatidiri Malaysia.
e. Mengenal pasti sumber tempatan yang akan dibangunkan secara saintifik.
f. Mengenal pasti keperluan Malaysia yang akan menjadi matlamat aktiviti saintifik Malaysia.
g. Mengenal pasti isu-isu serius yang mesti dipriortikandan ditangani dalam usaha pembangunan sains Malaysia.
| Comments |
|
!joomlacomment 4.0 Copyright (C) 2009 Compojoom.com . All rights reserved."
Terakhir dikemaskini (Isnin, 12 Oktober 2009 22:09)


