Entri asal 26 Ogos 2009
Bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mulia; iaitu bulan yang penuh keberkatan, bulan yang menjanjikan keampunan dan pelepasan daripada dosa kita.
Nabi Muhammad s.a.w. memberi ucapan bagi membimbing kita merebut ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sepanjang bulan Ramadhan. Berikut adalah ucapan Rasulullah menjelang Ramadhan.
Wahai manusia!
Sekarang datanglah kepada kamu sekalian bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan keampunan.
Inilah bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Saat-saatnya adalah saat-saat paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan.
Bermohonlah kepada Allah Rabbmu, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu bagi melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. Sebaliknya, selakalah orang yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini. Ingatlah pada rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan pada hari Kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin.
Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, eratkanlah tali persudaraanmu, jagalah lidahmu, tahanlah pandanganmu daripada apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan jagalah pendengaranmu daripada apa yang tidak halal kamu mendengarnya.
Kasihanilah anak-anak yatim, nescaya kamu akan dikasihi manusia. Bertaubatlah kepada Allah daripada dosa-dosamu.
Angkatlah tangan-tanganmu berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih;
Allah menjawab hamba-Nya ketika mereka menyeru-Nya,
Allah menyambut hamba-Nya ketika mereka memanggil-Nya, dan
Allah mengqabulkan permintaan hamba-Nya apabila mereka berdoa kepada-Nya.
Wahai manusia!
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana perbuatanmy, oleh itu bebaskanlah dirimu dengan beristighfar.
Punggung-punggungmu menjadi berat karana dosa-mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu, iaitu dengan memperbanyakkan solat sunat dan antaranya adalah solat sunat Tarawih.
Ketahuilah! Allah ta'ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Allah tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbul 'Alamin pada hari kiamat nant.
Wahai manusia!
Barang siapa antara kamu memberi makanan untuk orang-orang mukmin yang berpuasa pada bulan Ramadhan ini bagi berbuka puasa, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba, dan dia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.
Pada para Rasullullah berkata, "Ya Rasullullah, kami tidak dapat berbuat demikian."
Jawab Rasullullah, sebenarnya kamu masih beroleh ganjaran yang sama apabila melakukan apa sesuatu menurut kemampuanmu.
Kamu dapat mengelakkan dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan bersedekah sebiji kurma.
Kamu dapat mengelakkan dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan bersedekah seteguk air.
Wahai manusia!
Barang siapa yang mempercantikkan akhlaknya pada bulan ini, maka dia akan berjaya melalui jambatan sirathal mustaqim, yang sebenarnya pada hari itu banyaklah kaki yang tergelincir.
Barang siapa yang meringankan pekerjaan pegawainya, atau pembantunya atau hambanya pada bulan ini, maka Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya pada hari Qiamat.
Barang siapa menahan keburukannya pada bulan ini, maka Allah akan menahan murka-Nya pada Qiamat apabila dia berjumpa dengan Allah nanti.
Barang siapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, maka Allah akan memuliakannya pada hari Qiamat apabila dia berjumpa dengan Allah nanti.
Barang siapa menyambungkan tali persudaraan pada bulan ini, maka Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat Allah pada hari Qiamat apabila dia berjumpa dengan Allah nanti.
Barang siapa memutuskan kekeluargaan pada bulan ini, maka Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari Qiamat apabila dia berjumpa dengan Allah nanti.
Barang siapa melakukan solat sunat pada bulan ini, seperti solat sunat tarawikh, maka Allah akan menuliskan untuknya kebebasan daripada api neraka.
Barang siapa memperbanyakkan selawat kepada Aku pada bulan ini, maka Allah akan memberatkan timbangan kebaikanmu pada hari Qiamat nanti sekiranya timbangan itu ringan.
Barang siapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Qur’an, ganjarannya sama seperti membaca Al-Qur'an hingga tamat pada bulan-bulan yang lain.
Oleh itu wahai manusia, sesungguhnya!
Pintu-pintu syurga dibuka untukmu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupnya untukmu.
Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu supaya pintu neraka itu tidak akan pernah dibuka untukmu.
Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar Syaitan itu tidak lagi pernah menguasaimu.
Ali bin Abi Thalib r.a. berdiri dan berkata, "Ya Rasulullah! Apakah amal yang paling utama pada bulan Ramadhan ini?"
Maka jawab Rasullulah, “Ya abal Hasan! Amal yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah."
Nota:
Teks ini ayahanda ambil daripada edaran oleh PUSAT ISLAM, UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS, Tanjung Malim. Namum ada dua perkara yang perlu ayahanda nyatakan. (1) Ayahanda yakin ini bukan karangan pegawai agama di UPSI. Apabila ayahanda bertemu dengan perkataan "kerana" yang masih dieja "karena" maka tahulah ayahanda bahawa teks itu diciplak daripada sebuah karya yang ditulis oleh ulama Indonesia.
Ayahanda ingin menyatakan bahawa teks ini bukan karya ayahanda. Semoga pengarang asal teks ini diberi ganjaran atas sumbangannya ini walaupun ayahanda tidak dapat menyatakan nama beliau dalam teks ini.
Sekiranya kita tidak menyatakan nama pengarang teks yang kita ambil, itu adalah perbuatan mencuri hakcipta. Hakcipta itu bukan ajaran dari Rasulullah, tetapi penzahiran karangan oleh ulama berkenaan.
Perkara kedua, harap maklum, ulama sering sahaja menggunakan istilah khutbah untuk semua ucapan Rasullullah. Oleh sebab itu kita hairan mengapa ada orang bersoal jawab semasa Rasullullah berkhutbah?
Sebenarnya ini bukan "khutbah" Jumaat. Dalam khutbah Jumaat kita memang tidak boleh berkata-kata atau menyoal. Maksud khutbah di sini hanyalah ucapan atau yang lazim kita ketahui dalam konteks agama, adalah "ceramah."
1 comments:
Salam ziarah.